HAL DUKA DAN SUKA

Jun 25, 2006

HAL DUKA DAN SUKA
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Petikan dari Keterangan Pengajian Terdahulu;

Maka segala Hadrat itu tiga perkara;

* Pertama, Hadrat al-Rububiyah iaitu Hadrat Al-Jalal
* Kedua, Hadrat al-Ruhaniyah iaitu Hadrat Al-Jamal
* Ketiga, Hadrat al-Ilahiyah iaitu Hadrat Al-Kamal.

# Maka dalam Hadrat Jalal itu bersenggeraha dengan Sabar; dan
# dalam Hadrat Jamal itu bersenggeraha dengan Syukur; dan
# dalam Hadrat Kamal itu bersenggeraha dengan Sakiinah.

Keterangan Suluk

Adapun yang dimaksudkan dengan Hadrat ialah kedudukan atau tempat tetap hati Salik yang merujuk kepada tempat menerima Tajali-tajali dari Haq Subhanahuwa Taala. Adapun jenis-jenis atau tahap Tajali yang ditentukan dan dikadarkan pada seseorang hamba itu sememangnya tidak sama dan berbeza-beza. Mengikut keterangan di atas perbezaan ini ditunjukkan dengan membahagikannya kepada tiga perkara. Perlu dinyatakan di sini, pembahagian ini adalah berdasarkan kepada tiga Hadrat yang umum atau yang besar. Di bawah tiap-tiap satu hadrat tersebut ada lagi pecahan-pecahannya yang lebih detail di mana ianya banyak dihuraikan secara berselerak dalam Kitab Hikam ini dengan penampilan-penampilan yang ajaib-ajaib lagi berhikmah. Hanya yang peka dan benar-benar menghayati butir-butir pengajarannya sahaja yang dapat menanggapinya.

“Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak berikan cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya”. (Al-Quran)

Adapun dikehendaki dengan keterangan Maka dalam Hadrat Jalal itu bersenggeraha dengan Sabar ialah perihal batin hati Salik yang menerima Tajali Jalal Allah di mana menerbitkan hal-ahwal mereka yang sentiasa bersungguh-sungguh(bersenggeraha) mendirikan Sabar dengan apa yang ditimpakan kepada mereka.

* Bersabar dalam menjalani kesusahan hidup, sama ada yag zhohir atau yang batin.
* Bersabar dalam menerima keperitan ujian dari Allah Taala
* Bersabar dengan mudhorat dan karenah makhluk
* Bersabar dan tekun dalam mujahadah melawani nafsu syahwatnya
* Bersabar dengan godaan dunia dan kebiasaan basyariahnya.
* Bersabar dalam menerima kekuatan Tajalli Allah pada pembukaan-pembukaan cahaya hakikat dan makrifat dengan menyimpannya sebagai rahsia yang terkhusus untuknya;
o Tidak cepat melatah;
o Penyimpan amanah seumpama kata-kata arifbillah; “Hati-hati yang mulia itu menutup rahsia-rahsia seperti liang lahat”.

Golongan ini sentiasa dapat merasai akan nyatanya Kekerasan dan Kekuasaan Allah dalam mentadbir dan memerintah alam ini mengikut Manifestasi Rububiyah(Pemerintahan)Nya; tanpa campur-tangan sesuatupun. Inilah perihal Hadrat Rububiyah dengan hati yang sentiasa ditumpahkan Manifestasi Jalal Allah.

Adapun yang dimaksudkan dengan Hadrat Jamal itu bersenggeraha dengan Syukur ialah hal-ahwal Salik yang bersungguh-sungguh dalam memelihara had dan adab-adab dalam menerima Tajalli Jamal yang berwajahkan pelbagai kesenangan dan kenikmatan.

* Sentiasa mendirikan syukur dengan harta dan kedudukan yang dikadarkan buatnya
* Mendirikan syukur kepada limpahan ilmu dan amal yang dikurniakan kepadanya
* Melaksanakan hak hukum waktu sewaktu mendapat sesuatu rezeki maknawi yang bangsa makrifat
* Memandang kepada Yang Memberi(Allah) dengan segala Kebaikan dan KehalusanNya.
* Menzhohirkan rahsia-rahsia Keindahan hakikat dengan kata-kata yang berhikmah, halus lagi dalam pengertiaannya; yang dapat menyentuh dan menyentak hati yang sedang lalai dan mabuk dengan agyar dan dunia.

Golongan ini yang hidup ruhnya dengan pancaran Ketuhanan sehingga tidak menilik kepada keistimewaan dan kebaikan yang ada padanya kerana disaksikan dengan nyatanya kebaikan dan Keindahan Allah dalam Manifesati JamalNya. Inilah hal Hadrat Ruhaniyah dengan hati yang sentiasa dihujani dengan Tajalli Jamal Allah yang menjelmakan hal yang bersungguh-sungguh dalam mendirikan syukur pada Allah Taala..

Adapun yang dimaksudkan dengan dalam Hadrat Kamal itu bersenggeraha dengan Sakiinah ialah hal-ahwal Arif yang bersungguh-sungguh menetapkan pandangan atau Musyahadahnya dalam mengesakan Zat Yang Wajibal Wujud itu.

* Tidak dipandang kepada segala bala atau kepayahan yang diterima kerana telah tetap ( Sakiinah ) pandangan yang satunya kepada Allah yang mentadbir dan yang menghukum tanpa mengaitkan dengan hukum asbab dan adat
* Tidak dipandang kepada segala nikmat yang dilimpahkan kerana telah tetap ( Sakiinah ) pandangannya melihat kepada wajah Allah yang terzhohir pada setiap zaaratul maujud ini.

Dalam Hadrat Ilahiyah yang sempurna ini, tidak diiktibarkan lagi wujud makhluk dan wujud dirinya malah hatinya tenggelam dalam lautan Keesaan Allah yang tiada terhad. dan tetap( Sakiinah ) dalam bermusyahadah dengan Allah.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka apabila engkau menyempurnakan hai Salik….akan Hadrat Jalal, maka hasillah bagimu susah dan lenyap susah; kerana susah itu HAL.

Keterangan Suluk

Daripada tiga Hadrat yang dibincangkan di atas, fokus perbincangan seterusnya ialah kepada Hadrat Jalal. Maka akan memahamkan kita, sebahagian daripada detail atau perinciaan berkenaan dengan Hadrat Jalal ini. Orang yang bersungguh-sungguh(bersenggeraha) menyempurnakan hak Hadrat ini, maka berhasillah yakni berhiasanlah dirinya dengan satu “Hal” yang dinamakan susah(duka) dan pada satu waktu pula dinamakan suka atau hilang lenyap kesusahan yang menimpanya.

“Hal Duka” dan “Hal Suka” inilah antara intipati yang cuba dibangkitkan dalam Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah yang selanjutnya sebagaimana berikut;

Maka ketakutan akan dikau supaya tiada dikekalkanNya akan dikau serta Sukacita(basith), maka jadilah engkau derhaka; dan Sukakan akan dikau supaya tiada ditinggalkanNya akan dikau serta Dukacita(Qabith), maka jadilah engkau dalam picik.

Keterangan Suluk

Bermula rasa takut, rasa bimbang dan rasa cemas daripada hilang atau luputnya sesuatu yang telah disukai(basith), menjatuhkan engkau kepada melakukan penderhakaan kepada Allah Taala.

* Apabila takut hilang jawatan dan kedudukan yang telah lama disandang;
* Apabila takut hilang keluasan dan keselesaan yang telah dinikmati sekian lama;
* Apabila terlalu bimbangkan kehilangan sesuatu yang sangat dikasihi dan disayangi;
* Apabila terlalu bimbangkan menjauhnya sesuatu kebaikan dan manfaat yang banyak membantu;
* Apabila cemas apabila sesuatu yang sekian lama bersama(meningkat amal taat atau amal kebajikan), tiba-tiba menghilang;
* Apabila cemas sesuatu yang selama ini terbuka, tiba-tiba tertutup

Maka dengan ketakutan dan kebimbangan untuk dikekalkan engkau dengan pelbagai kebaikan yang disukai itu, menjadikan engkau seorang yang telah melakukan penderhakaan terhadap Allah Taala. Derhakanya kerana cenderung dan suka bergantung kepada agyar dan masyiwallah. Menyekutukan Allah dengan berbimbang dengan sesuatu selain daripada Allah.

Demikian lagi, suka dan kasihnya engkau agar kehidupan seharian kau dilalui tanpa sesuatu yang mendukacitakan(Qabith); menjadikan engkau seorang seorang yang sentiasa berada dalam dalam kesusahan atau kesempitan perasaan.

* Suka supaya tidak dtimpakan bala dan musibah;
* Suka agar tidak disakiti dan dikhianati oleh manusia dan makhluk;
* Suka supaya tidak didatangi ujian yang berat-berat;
* Suka agar tidak dibebani dengan sesuatu yang menyusahkan.

Maka kesukaan untuk tidak dikekalkan sesuatu yang menyusahkan dan membebankan ini, akan menjadikan hati engkau picik [yakni feel(perasaan) hati disebabkan luputnya sesuatu yang diingini atau tidak berhasilnya apa yang dimaksudkan]. Piciknya kerana takutkan sesuatu yang tidak hakiki sehingga melupakan kepada Yang Haq.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan telah dikeluarkan engkau daripada keduanya dengan Fana dalamnya hingga tiada engkau bagi suatu yang lain daripadaNya.

Keterangan Suluk

Maka tidak akan luput atau tidak akan dikeluarkan seseorang itu daripada bayangan hal duka dan hal suka itu, melainkan dengan Fana di dalamnya yakni hilang atau hapus tilikan dan pandangan hati seseorang itu daripada cenderung kepada sesuatu sehingga lepas bebaslah ia daripada sesuatu melainkan kepada memandang Fi’li Allah semata-mata.

Ini adalah kerana dari pandangan hakikat, tidak ada sesuatu yang boleh memberi manfaat dan menolak sesuatu mudhorat itu melainkan Allah. Allah jualah yang mengatur, menyusun dan mentadbir segala segala sesuatu ini mengikut Kehendak dan KekuasaanNya Yang Mutlak, tanpa sebab, tanpa sesuatu kerana sama dari diri sendiri atau dari yang lain.

Hasilnya, sesungguhnya sebab atau punca yang menjadikankan seseorang itu berduka dan bersukacita ialah kerana hijabnya yang suka mengharap-harapkan dan berbimbang kepada manusia, makhluk dan apa sahaja selaian daripada Allah.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Bermula Duka dan Suka itu dua Hal yang berwarna(beraneka jenis) dalamnya segala Arif dan keduanya itu menempati Khauf dan Roja’ segala Murid yang Mubtadi; dan sebab keduanya itu daripada segala Warid yang datang ia atas batin hamba dan dhoifnya dan Kuatnya dengan sekira-kira kuat segala Warid yang datang ia atas batinnya itu.

Keterangan Suluk

Adalah duka dan suka itu merupakan asam garam pengalaman keruhanian seorang yang Arif, di mana kedua-keduanya adalah merupakan “hal” yang silih berganti yang terjelma di sepanjang perjalanan dan pendakiannya menuju Wasil IlaLlah. Sesungguhnya hal duka dan suka ini menjadikan mereka semakin lama semakin matang dengan selok-belok perjalanannya di samping mengheningkan pengalaman hakikat melalui Tajalli Jalal dan JamalNya.

Berbeza pula dengan perihal kedudukan segala Murid yang Mubtadi; yang masih dalam permulaan perjalanannya. Hal duka dan suka ini menempati mereka dengan wajah Khauf(Takut) dan Roja(Harap) yang terpaksa mereka imbangi supaya sama dan tidak melebihi antara satu sama lain. Dalam Khauf seperti takutkan amalan dan maksud hatinya tidak diterima oleh Allah Taala, mereka juga digalakkan untuk sentiasa Roja(mengharapkan) agar segala amal-ibadat dan laluan jalannya dibimbingi dan ditunjukki oleh Allah Taala.

Adalah sebab-sebab atau punca yang boleh menjadikan seseorang itu berduka atau bersukacita; atau Roja dan Khauf itu adalah kerana daripada segala Warid yang datang ia atas batin hamba yakni datang/tibanya Warid Ilahiyah dari Allah Taala ke atas Sir seorang hamba. Semata-mata sebagai satu limpahan anugerah buah hambaNya yang terpilih. Kekuatan Warid ini tidak sama, malah berbeza-beza antara seorang hamba dengan hamba yang lain bergantunglah kepada dhoifnya dan Kuatnya dengan sekira-kira kuat segala Warid yang datang ia atas batinnya itu. yakni lemah dan kuatnya campakan Warid tersebut yang diterima oleh Sir mereka.

Berkenaan perbezaan Warid ini, telahpun disentuh dengan agak detail dalam catatan-catatan pengajian terdahulu. Tidak salah jika diulang-ulangkan dalam memahaminya. Manalah tahu, yang tersirat sebelum ini, dapat difahami dengan lebih mendalam lagi. Ini adalah kerana di sebalik yang tersurat itu, ada yang tersirat, dan di sebalik yang tersirat itu ada rahsia-rahsianya yang menunggu masa untuk menghunjur keluar. Antaranya yang boleh disemak kembali ialah di bawah tajuk
Waridat Ruhaniyyah dan Nafhatul Ilahiyyah
“Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak berikan cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya”.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan maksud di sini bahawasnya, keduanya itu dua sifat yang kurang keduanya dengan nisbah kepada yang di atas keduanya. Maka bahawasnya keduanya itu menghendaki keduanya itu kekal hamba dan wujudnya.

Keterangan Suluk

Adalah dikehendaki dengan Dan maksud di sini bahawasnya ialah dengan merujuk kepada matan atau Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah berkaitan dengan dengan Duka(Qabith) dan Suka(basith). Keterangan di atas menjelaskan kedua-dua sifat ini adalah kurang(rendah kedudukannya) berbanding dengan kedudukan orang-orang Arif. Rendahnya atau kurangnya hal duka dan hal suka ini adalah dari kerana masih wujud lagi tilikan dan pandangan dan kecenderungan kepada hamba dan wujud dirinya sendiri.

Dengan ini, maka difahamilah di sini, maka dalam konsep pengajian hakikat dan makrifat ini,

* jika seseorang itu masih lagi menilik kepada upaya dan kemampuan diri dalam mendirikan taat dan kebajikan,
* masih lagi membilang-bilang dan membeza-bezakan hal-ahwal dan maqam-maqam yang ingin dicapai,
* masih lagi merasai akan wujud yang tidak hakiki di samping wujud yang Hakiki;

maka semua perkara ini menunjukkan mereka masih lagi terhijab dengan hakikat yang Haq dan terkurung dalam wujud majazi mereka.

Hanya dengan limpah Kurnia Tuhan sahajalah mereka boleh menjejaki hakikat ini. Hanya dengan Latif Allah Taala sahajalah mereka akan dapat dibebaskan dari kurungan hissi itu sebagaimana yang boleh kita dapati dari keterangan Tok Pulau Manis yang selanjutnya.

Hairan ya!…dan teramat hairan, bagaimana seorang yang mengaku dirinya Arif dan telah Wasil ilaLlah, tetapi dalam masa yang sama;

* merasai dirinya lebih berilmu(terutamanya yang hakikat dan makrifat) yang sampai sanggup mempermain-mainkan kata-kata hakikat bagi tujuan meremehkan orang lain;
* mendakwa pengalaman keruhaniannya lebih hebat dengan pelbagai cerita di alam-alam ghaib;
* melekeh-lekehkan kedudukan dan jalan-jalan orang lain hanya kerana dapat merasai sedikit kehebatan Warid Ilahiyah;
* malah ada yang sampai sanggup menjadi hero dengan kononnya menegakkan sesuatu yang haq. Sanggup untuk berhujah dan berdebat.

Apakah benda semua ini???…….. Jika masih seorang murid, maka beradablah sebagai seorang murid. Jika masih salik, maka beradablah sebagai seorang salik. Jika yang sedikit sudah tidak dapat dijaga, manakan mungkin untuk menjaga yang lebih besar?

Orang yang benar-benar Arif, ialah apabila berkata, mereka akan berkata dengan “lisan hal”nya sebagai orang Arif, yang hanya berkata dengan Allah, bukan dengan lisan ilmunya dan bukan dengan lisan amalnya. Ini adalah kerana, mereka hidup kekal dengan Allah sebagaimana yang terdapat dari…………………..

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka setengah daripada Lathif Allah Taala pada hambaNya dirupakanNya keduanya, kemudian maka dikeluarkannya daripada keduanya dengan Fananya daripada dirinya dan dikekalkannya dengan TuhanNya.

Keterangan Suluk

Setengah atau sebahagian daripada Lathif Allah Taala(maknanya ada lagi Tajal-tajali lain) pada seorang hamba yang terpilih ialah dirupakanNya keduanya yakni ditajalikan Baseth dan Qabeth ke atas Sir mereka dengan Tajali Jalal itu di mana menjadikan mereka bersenggeraha (bersungguh-sungguh) mereka dengan Sabar; dan dengan Tajali Jamal itu pula akan menjadikan mereka bersenggeraha dengan Syukur; yakni dengan maksud diberikan petunjuk untuk melaksanakan hak dan adab-adab kedua-kedua Warid tersebut dengan sabar dalam duka dan syukur sewaktu suka. Ini peringkat pertama atau permulaannya.

Pada peringkat seterusnya, kemudian maka dikeluarkanNya daripada keduanya dengan Fananya daripada dirinya dan dikekalkannya(Baqa) dengan TuhanNya. yakni dicabut tilikan dan pandangan hambaNya daripada cenderung kepada kesukaan dan kedukaan ada dan tiadanya karenah dan manfaat makhluk(manusia, wirid, warid, hal, maqam dsb.) dengan lenyap dan hapus sama sekali daripada memerhati wujud dirinya dan dikekalkan pandangan mereka dengan Allah.

Tiada lagi riya’, ajib, sombong atau lain-lain sifat mazmumah, tiada lagi aku lebih engkau kurang, tiada lagi kata-kata sumbang dan tidak beradab, kerana segala kelakuan, perbuatan dan pertuturan mereka adalah dengan kelakuan, perbuatan dan pertuturan TuhanNya. Mereka telah mati(sifat-sifat basyariyah dan syahwaniyah) dan hidup kekal dengan TuhanNya

Demikian jua, tiada lagi duka, bimbang, takut atau cemas. Tiada lagi suka, gembira dan girang; malahan tiada lagi ini dan itu, sana dan sini kerana adalah rasa-rasa itu jatuh semuanya dalam wujud yang tidak hakiki. Ini adalah kerana dalam Fana dan Baqa, tidak akan muncul atau terbit lagi duka dan suka. Inilah yang boleh difahami dari kata-kata Faris ra; dan Sheikh Junaid ra; sebagaimana yang terdapat dalam……..

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Kata Faris ra.;

Pertama-tama duka, maka suka; kemudian tiada duka dan tiada suka kerana bahawasanya duka dan suka itu jatuh keduanya itu dalam wujud. Dan adapun serta Fana dan Baqa, maka tiadalah keduanya itu.

Dan kata Sheikh Junaid ra.;

Bermula khauf itu mendukakan akan daku dan Roja itu menyukakan akan daku, dan hakikat itu menghimpunkan akan daku. Dan Haq itu menceraikan akan daku apabila mendukakan Ia akan daku dengan khauf; maka memFanakan Ia akan daku daripadaku. Dan apabila menyukakan Ia akan daku dengan Roja, maka mengembalikan Ia akan daku atasku, dan apabila menghimpunkan Ia akan daku dengan Hakikat, maka menghadirkan Ia akan dakui. Dan apabila menceraikan IA akan daku dengan Haq, maka melihatkan Ia akan daku lainku daripadaku, maka menuntut Ia akan daku daripada aku. Maka iaitu dalam demikian itu sekeliannya menggerakkan akan daku tiada mendiamkan akan daku; dan meliarkan aku, tiada menunjukkan aku dalam hudurku bagi merasai rasa wujudku. Maka menyenangkan akan daku.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan adalah hakikat keluar engkau daripada Duka dan Suka itu bahawa engkau Fanakan dengan Dia daripada tiap-tiap barang yang lain daripadaNya; kerana bahawasanya yang Fana pada Allah dengan Allah bagi Allah itu tiada mengetahui ia pada wujud lainnya daripadaNya Taala.

Keterangan Suluk

Keterangan di atas, adalah lebih kurang maksudnya daripada keterangan dan perbincangan di atas. Sebagai penegasannya, maka perlulah difahami bahawa hakikat keluar dari bayangan duka dan suka itu ialah dengan Fananya diri Dengan Allah daripada masih cenderung dan bersandar kepada itu dan ini selain daripada Allah.

Sekali lagi ditegaskan bahawa orang yang Fana pada Allah(tidak melihat yang lain) dengan Allah dan bagi Allah tidak ada pengetahuan dan ilmu berkaitan dengan wujud ini melainkan melihat Wujud Allah yang meliputi di atas segala-galanya. Semata-mata berada dalam “pekerjaan” dan “Keadaan” Wujud Allah. Hidup kekal(Baqa) dalam Keesaan Wujud itu.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan inilah Maqam Khowas segala orang yang Arif. Bersalahan dengan orang yang Salik, maka bahawasanya apabila datang atasnya nikmat, maka sukalah ia dengan dia.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: