Fana

Jun 25, 2006

Pengertianya.

Sesungguhnya segala nafas seorang hamba itu dikira-kirakan(dihitung dan dinilai)atasnya kerana bahawasanya setiap nafas itu menghendaki ia Tajali (pembukaan/penzahiran hakikat) dan demikian Tajali mewajibkan makrifat dan demikian makrifat mewajibkan bagi hamba itu Ubudiah dan sekurang-kurang Ubudiah itu diam di bawah segala takdir Allah kerana melihat hamba akan lemah dirinya (Hakikat kehambaan) dan bersendirianTuhannya dengan kebesarannya (Hakikat Ketuhanan).

Keterangan Dari Suluk.

Setiap nafas menghendaki ia Tajali

Dalam setiap detik kehidupan yang dihitungkan dengan kiraan nafas yang ada pada kita, sememangnya setiap nafas yang kita sedut dan hembus itu sentiasa menanti-nanti dan bersedia untuk menerima Tajali daripada Al-Haq. Tajali inilah yang akan membukakan sir(rahsia mata hati) kita untuk melihat hakikat kewujudan Allah dan bagaimana hakikat itu dizohirkan.

Contohnya apabila seorang kawan memberi hadiah kepada kita, pandangan mata hati kita pada saat dan ketika itu akan terbuka dan melihat Allah yang menganugerahkan hadiah itu. Tidak terlihat/hilang/fana kawan kita tadi. Jika kita nampak juga kawan kita tadi ,pandangan kita akan melihat bagaimana Allah menzohirkan nikmat itu melalui pentadbiranNya dengan menghantar kawan kita sebagai pembawa hadiah dariNya. Terbukanya hakikat penzohiran inilah dikatakan sebagai Tajali dari Allah

Dan demikian Tajali mewajibkan makrifat

Apabila terbuka hakikat ketuhanan dan terzohir pada kita kita Tauhid Rububiyah melalui Tajali di atas, bererti seseorang itu telah dikatakan mempunyai makrifat(Ahli Makrifat). Dengan makrifat ini seorang hamba itu dapat membezakan:

* antara yang hak(Allah) dan yang batil(makluk)
* antara yang benar-benar Wujud(Zat Allah) dan Wujud yang ‘Aridi/baru(Wujud Makhluk)
* antara hakikat ketuhanan dan hakikat kehambaan

Inilah apa yang dikatakan dengan Tajali Allah…. seorang hamba itu mendapat makrifat.

Dan demikian makrifat mewajibkan bagi hamba itu Ubudiah

Apabila seorang hamba yang memiliki makrifat tadi dapat membezakan bahawa Allah bersifat dengan Qhani(Kaya), Qawi(Kuasa), Qadir(Kehendak), ‘Aziz(Mulia) dan Kamalat(Sempurna) sedangkan hamba bersifat dengan Fakir, Dhoif, Lemah, Kurang dan Hina, sudah tentulah hamba itu mempunyai kesedaran yang tinggi tentang tanggungjawab yang harus dilaksanakan sebagai seorang hamba kepada Tuhannya. Kesedaran yang tinggi inilah akan meningkatkan darjah keimanannya di mana ia harus taat dan patuh kepada apa sahaja yang Allah Khitobkan(perintahkan). Hamba ini akan menjadi hamba yang tahu diri di mana sekurang-kurangnya ia wajib redho atas apa yang berlaku dalam kehidupannya sama ada nikmat, taat dan bala.

Samalah seperti kita katakan matahari makrifat itu meghapuskan kegelapan perjalanan Salik

Kata Pengarang Kitab Hikam….

Maka adalah tiap-tiap nafas itu merupakan Salik berjalan kepada Tuhannya. Kerana inilah telah mengisyaratkan guru-guru tasauf dengan katanya :

“Bermula jalan kepada Allah Taala itu adalah sebanyak bilangan nafas makhluk. Maka dalam bilangan nafas dalam sehari semalam itu ialah dua puluh empat ribu (24 000).”

Demikianlah adab hamba itu dalam segala nafasnya dijadikan bagi Tuhannya agar tiada dipergunakan untuk membuat maksiat kepada Allah. Ini adalah kerana bahawasanya nafas itu gedung tempat simpanan segala amalnya yang memberi manfaat bagi hamba.

Terdapat setengah daripada kaum sufiah berpandangan ….dibilangkan(dihitungkan) juga sesuatu yang dapat meluputkan setengah daripada nafasnya itu ialah pada ketika mengunyah makanan apabila makan. Ini adalah bertujuan supaya jangan ia(hamba) Istighol (berbimbang) ia pada segala nafas dalam makan selain daripada zikir.

Inilah muraqabah yang tinggi pada makam Al- Suluk. Telah menghitungkan akan kepentingan nafas itu dari segala orang-orang yang dahulu. Tetapi setengah daripada mereka itu berpendapat yang terlebih akmal (sempurna) padanya ialah muraqobah “Thorfatal ‘Aini” iaitu setiap kerlipan mata.

Dan adalah pengertian muraqobah itu ialah mentahkidkan hati dengan menilik hak Allah Taala dalam batinnya dan dalam zahirnya pada tiap-tiap masa. Barang siapa memeliharakan (menilik hak Allah) ia dalam setiap nafasnya maka hendaklah dihentikannya (tetap dan istiqomah) sekelian ahwalnya (hal dan gerak gerinya). Ini bermaksud kehidupan hariannya sentiasa tetap dengan ibadat dengan perhatiannya kepada menilik kepada Allah dalam setiap kelakuan makhluk.

Setengah daripada faedah ataupun hikmah memandang takdir Ilahiyah itu ialah dapat meninggalkan tadbir (usaha dan ikhtiar kita) seperti yang dikata oleh setengah kaum sufiah dengan kata mereka :

Telah luluslah (berlaku) segala takdir Tuhan dan hukumNya. Maka senangkanlah hati mu daripada mengharap-harap dan daripada menyesal-nyesal.

Inilah sebahagian daripada kunci ketenangan dan kebahagian yang ada pada kaum sufiah. Benarlah kata kaum ini kerana kita banyak penat dan lelah dalam mengusahakan keperluan kehidupan harian kita kerana kita merasakan kita mampu membuat banyak pilihan dan menentukan sesuatu sedangkan hakikatnya memang Allah yang sudah memilih dan menentukan sesuatu untuk kita. Sebagai pengakhirnya renungilah dengan ikhlas kata-kata Imam Besar Tasauf Sheikh Junaid Al-Bagdadi iaitu

“Orang yang paling agung ialah orang yang menyerahkan kehendaknya kepada kehendak Allah dan dia redho dengan Allah”.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: